Oleh : Srinarawie Bidzah / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. - Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi dari semua pihak.
Dewan ini perlu meneliti cadangan dan idea yang dikemukakan dengan mengambil kira 'emerging issues' di peringkat global untuk diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan mengikut kesesuaian.
Menyedari bahawa Wawasan Brunei 2035 diterbitkan oleh Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang pada tahun 2004 bagi merancang pembangunan negara dalam tempoh 30 tahun ke hadapan. Hanya tinggal 10 tahun bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Perkara berkenaan dijelaskan dalam Usul Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat memperakui bahawa usaha-usaha mengukuhkan pelaksanaan strategik dan pelan-pelan tindakan menjurus kepada mencapai matlamat-matlamat utama wawasan dijalankan melalui Manpower Blueprint bagi Matlamat Pertama yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPTMP), Social Blueprint bagi Matlamat Kedua yang diterajui oleh JPM dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial, MKIS; dan Economic Blueprint bagi Matlamat Ketiga yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Kementerian kata Yang Berhormat memahami bahawa keadaan dunia sejagat sukar diramal dan negara juga tidak terkecuali dari menghadapi kesan kesan global seperti konflik geopolitik dan situasi ekonomi tidak menentu. Kesan ini mencabar pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
"Bahawa dalam memastikan Negara Brunei Darussalam akan merealisasikan Wawasan Brunei 2035, Majlis ini mengusulkan bagi tindakan dan sokongan bersepadu digagaskan dengan pendekatan senegara merealisasikan bagi matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
"Izinkan kaola untuk meneruskan bagi menyampaikan ulasan terhadap Usul Wawasan Brunei 2035 khususnya berhubung peranan JPM dalam mendukung pelaksanaan dan pencapaian matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan sejak pelancarannya pada tahun 2007, Wawasan Brunei 2035 telah menjadi kerangka rujukan utama negara dalam menggubal dasar dan merangka Pelan Pembangunan Jangka Panjang.
Wawasan Brunei 2035 tambah Yang Berhormat, menetapkan tiga matlamat utama, iaitu pertama, Rakyat yang Berpendidikan dan Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, kedua, Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi, dan ketiga, Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan.
Ketiga-tiga matlamat ini jelas Yang Berhormat saling melengkapi dan penting dalam membina asas sebuah negara yang inklusif, maju dan berdaya tahan. Kejayaan Wawasan Brunei 2035 adalah tanggungjawab kolektif dan memerlukan penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat dan pihak-pihak berkepentingan dengan tidak bergantung harap sepenuhnya ke atas pihak kerajaan.
"Ini adalah selaras dengan penekanan terhadap pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation yang saling mendukung ke arah mencapai matlamat yang sama.
"Keprihatinan dan kesungguhan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kejayaan Wawasan Brunei 2035 dizahirkan secara berterusan melalui kurnia titah-titah, panduan dan sokongan baginda dalam memperkukuh dasar pembangunan negara.
"Tumpuan baginda terus berpaksikan kepada teras utama Wawasan Brunei 2035, iaitu pendidikan, kualiti hidup dan pembangunan ekonomi yang mencerminkan iltizam baginda dalam memastikan negara terus maju seiring dengan perubahan global," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata namun demikian, landskap global hari ini semakin mencabar. Isu perubahan iklim, kemunculan teknologi baharu, transformasi tenaga ketidaktentuan kerja geoekonomi serta geopolitik memerlukan pendekatan dasar yang lebih strategik, pantas dan berpandangan jauh.
Dalam menghadapi cabaran ini tambah Yang Berhormat, falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) kekal menjadi asas-asas utama pembangunan negara, iaitu bukan sekadar identiti negara tetapi juga sebagai panduan dalam membentuk hala tuju pembangunan yang holistik dan seimbang antara kemajuan fizikal dan pembangunan ekonomi, rohani.